MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

SATU IMPAK EPISOD RAW

KERAJAAN SEKAT PENDIDIKAN AGAMA

Kegagalan Dasar Pendidikan Negara amat jelas terbukti apabila sepanjang 40 tahun memerintah masih gagal melahirkan generasi yang mampu memartabatkan Islam ke singgahsana  dan mercu kegemilangannya, sebagaimana pernah dicapai oleh kerajaan Islam beratus-ratus tahun lalu.

Kegagalan itu bukan setakat membimbing generasi Melayu Islam ke arah mendokong atau menegakkan syariat Allah, malahan yang lebih mendukacitakan akibat perlaksanaan dasar pendidikan yang condong kepada sekularisme itu telah melahirkan generasi didikan yang menghancurkan tamadun Melayu yang sudah wujud beratus tahun lamanya.

Apabila ada golongan yang merasa perihatin di atas kegagalan kerajaan dan cuba kembali memberikan alternatif kepada pemikiran berteraskan prinsip Al-Quran  dan Hadis, dengan mengwujudkan sekolah-sekolah agama atau taman didikan Islam, kerajaan BN sebaliknya bertindak menyekatnya.

Satu dari impak episod RAW 2 - 6 Julai lalu, sebagaimana dibimbangi oleh masyarakat Islam negara ini sudah terserlah. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia semalam sudah bertindak menggesa kerajaan BN supaya memantau kelas-kelas tadika Islam seperti PASTI (Pusat Asuhan Tarbiyah Islam) dan TASKI (Taman Asuhan Kanak-kanak Islam).

Pergerakan itu dengan rakusnya menuding jari ke arah PAS yang melahirkan taman didikan yang didakwanya menghasut kanak-kanak membenci kepimpinan negara sehingga melahirkan generasi yang sanggup membakar sekolah dan menghantar peluru kepada guru mereka.

Malangnya pergerakan pemuda UMNO itu lupa bahawa tragedi yang berlaku itu bukannya dari tadika Islam atau seumpamanya. Sebaliknya, kita sering didengarkan sekolah-sekolah agama dan pondok sering terbakar walaupun kita tidak ingin mengungkit apakah punca tragedi itu. Kita juga seringkali diperdengarkan berita pencerobohan 'insan yang tidak diundang' di asrama pelajar perempuan sebagaimana yang sering terjadi. Mungkin kejadian terbaru di sebuah sekolah agama di Selinsing, Perak sehingga memaksa guru-guru mereka memberikan cuti selama beberapa minggu kepada para pelajar bagi meredakan gangguan tersebut, sekaligus meningkatkan tahap keselamatan asrama puteri mereka.

Justeru itu tidak mudah untuk menuding jari kepada pihak lawan yang dikatakan menanam rasa benci di kalangan pemimpin kerajaan. Sudah pasti kita mahu generasi bawahan terdidik  dengan nilai-nilai yang baik seperti menjauhi rasuah, menyeleweng kuasa dan berlaku tidak adil kepada mereka yang berada di bawah kekuasaan kita.

Sekiranya generasi tersebut menerima pendidikan yang sedemikian rupa, ertinya kita sudah mencapai satu tahap kecemerlangan iaitu melahirkan generasi yang mampu menilai dengan penuh kematangan dan berasaskan satu ukuran yang sebenar, sebagaimana yang dituntut oleh agama kita.

Jika kita dibenci oleh mereka, maka sebenarnya kitalah yang seharusnya menilai diri sendiri, mengapakah kita dibenci atau dikritik, bukannya menyalahkan mereka yang cuba menegur kesilapan kita. Sesuatu yang tidak ada pada UMNO sehingga melahirkan kebencian masyarakat ialah sikap angkuh mereka kerana pada segenap masa   dan semua keadaan mereka mendakwa jagoan dan berada di pihak benar.

Majoriti rakyat berpandangan bahawa episod RAW adalah satu kesempatan kepada kerajaan BN atau parti UMNO menghancurkan harakah Islamiah dari berkembang. Atau dengan erti kata yang lebih senang difahami, episod RAW menjadi titik tolak kerajaan BN menyekat perkembangan Islam. Apakah dengan tindakan ini menyebabkan Malaysia akan dilabelkan sebagai 'Turki Timur'  dan pemimpinnya yang terkenal Musapha Kamal Attaturk pula akan digantikan oleh Mahathir Terkutuk?

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com