MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

Episod  RAW Siri 8 

AMIN RANCANG CURI 'GLOBAL EXPRESS'?

Oleh:  Panglima Sauk 

Pada hari Sabtu yang lalu, Berita Harian telah membawa cerita bagaimana "Amin Rancang  Curi Kereta Kebal." Inilah pujuk cerita bagaimana Amin dan kawan-kawannya dikatakan merancang untuk mencuri  kereta kebal dan merompak beberapa bank di Lenggong, Perak sebelum bergerak ke ibu kota untuk menimbulkan haru-hara, dalam usaha mereka menggulingkan kerajaan.  Bagaimanapun, hasrat itu tidak tercapai kerana Kem Batalion 304  RAW di Gerik tidak mempunyai kereta kebal. 

Malah difahamkan, semua Kem Wataniah tidak dilengkapi kenderaan perang itu. Apabila membaca cerita itu bagaimanakah agaknya reaksi para pembaca akhbar akan dongeng terbaru yang difikirkan munasabah?  Apakah difikirkan oleh sumber-sumber yang memberitahu Berita Harian akan cerita ini agaknya? Apakah mereka fikirkan segala jalan cerita mengenai Prebet Amin ini  boleh diterima oleh rakyat dengan sebulat hati? Kita percaya ramai orang membaca jalan cerita yang disiarkan di muka depan akhbar itu dengan tersenyum sinis sahaja. Tentu ramai yang semakin sedar apakah sudah bermula kini satu taktik daripada Kumpulan New Straits Times untuk melariskan edaran akhbar harian mereka? 

Pada hari Sabtu  (16 Julai) Berita Minggu menyiarkan satu cerita mengenai Amin lagi. Tajuk ceritanya berbunyi: " Saya Tak Kebal" dan dimuatkan di muka depan akhbar tersebut. Dalam hal ini ada berita bagaimana beberapa orang komando tentera yang mencabar Amin untuk menunjukkan ilmu kekebalannya. Soalannya sekarang apakah pentingnya cerita mengenai Amin ini sehingga ia dijadikan cerita halaman muka akhbar perdana?  Apakah tujuan sebenar siaran yang dipetik daripada sumber yang 'boleh dipercayai itu'? Tentu sekali cerita Amin difikirkan mempunyai satu harga-berita yang dijangka dapat menarik minat pembaca dan melariskan penjualan akhbar. 

Pada hari Isnin 17 Julai, Berita Harian menyiarkan pula di muka depannya kenyataan Dato Zaini, Panglima Perang Yang paling Glamor di Alaf ini. Beliau telah disebut berkata: "Dakwaan Sandiwara - Kerja Orang Gila." Sekali lagi kenyataan ini dijadikan tajuk besar akhbar harian itu. Seperti mana  yang kerap ditulis di laman internet "Manusia Merancang, Allah merancang juga," ternyata amat jelas kebenarannya kerana pada muka surat tujuh (ms 7) di akhbar yang sama tersiar satu berita yang membawa tajuk begini: "Lelaki Berpistolkan Larikan RM318,000". …              "Seorang lelaki bersenjatakan sepucuk pistol melarikan wang tunai                     RM318,000 dari Maybank Finance, Taman Connaught, Cheras…." 

Selalunya cerita rompakan bank oleh perompak bersenjata mendapat liputan muka depan akhbar dan juga menjadi tarikan di Berita Perdana. Tetapi kali ini, sejak tercetusnya Episod RAW, sebarang berita rompakan yang menggunakan pistol ataupun pisau tidak akan diberikan tempat menonjol lagi. Semua ini akan melunturkan 'bisa' pergerakan Al Ma'unah yang berjaya ditumpaskan dalam masa lapan minit oleh seorang pegawai tentera yang sudah berkhidmat lebih tiga puluh tahun dengan taat dan setia kepada negara nya.  Saya fikir apabila Dato Jeneral Zaini bersara dia mampu meyakinkan PERHEBAT agar menaja satu syarikat yang memberikan kursus bagaimana melatih pengawal bank untuk menumpaskan perompak yang bersenjata.  Kalaulah kursus seperti ini sudah dianjurkan untuk pengawal bank kumpulan Maybank, jangankan sepucuk pistol, laras senapang automatik yang mampu meledakkan bom grened pun mungkin mampu ditumpaskan oleh pengawal yang dilatih oleh Jeneral Zaini. 

Demikianlah jalan cerita maklumat songsang yang ternyata sudah mula disajikan kepada pembaca akhbar Melayu. Alangkah aibnya perkara ini apabila ia dilakukan oleh orang Melayu yang menerajui satu institusi media massa yang sebenarnya bertujuan untuk menyibarkan maklumat benar yang sepatutnya mengandungi unsur-unsur ilmu pengetahuan yang bermutu tinggi.  Belum pun sampai satu minggu selepas pengumuman Berita Harian dan Kumpulan Straits Times diterajui oleh satu kumpulan pakar media yang berpengalaman. Hampir semua pakar dan pemikir barisan peneraju akhbar itu sudah melewati umur 65 tahun. Semuanya sudah menerima pelbagai gelaran daripada negara dan juga pemerintah negeri. Semuanya sudah berada di ambang dunia kata ke mana dan kubur kata ke mari….! Tetapi mereka sanggup menyudahkan sisa-sisa hidup yang ada dengan merencana satu pembohongan besar lagi. Kepada bangsa sendiri. 

Orang Melayu Yang Terus Diaibkan. 

Apabila BH (orang kata 'Berita Hairan' dan ada pula yang kata 'Berita Haprak', pilihlah yang mana satu) menyiarkan pujuk "Amin Merancang Mencuri Kereta kebal", tidak terlintaskah di kepala otak semua Tan Sri, Datok Seri dan Datuk-datuk yang menerajui BH itu bahawa pujuk demikian sebenarnya memalukan BANGSA MELAYU? Adakah sebarang cerita dalam dunia ini di mana rompakan bank dilakukan dengan menggunakan kereta kebal? Kalau pun kereta kebal itu dikatakan mahu dicuri di Gerik kenapa pula rencana rompakan itu mahu dilakukan di Lenggong? Apakah bank-bank di Lenggong lebih 'berisi' daripada bank di Gerik? Sepatutnya kalau Amin berjaya mencuri kereta kebal di Gerik, bank yang mahu dirompaknya tentulah Bank Bumiputera Commerce yang terletak di depan hospital Gerik. Di jalan yang sama ada pula Bank Simpanan Nasional yang terletak di sebelah restoran  China yang dibuka selama 24 jam. Kenapakah tidak disebut bank-bank di Gerik tetapi dipilih pula bank di Lenggong. Mana satu lebih besar, bandar Lenggong ataupun bandar Gerik? Jawapannya tentulah Bandar Gerik. 

Kalau penulis tidak silap, di Lenggong ada bank UMBC dan Bank Pertanian yang terletak kira-kira dua puluh meter daripada balai Polis Lenggong. Apakah para penerima maklumat di BH itu tidak dilatih menyaring berita daripada 'sumber yang paling dipercayai" itu ataupun sengaja mahu mengeluarkan maklumat songsang dengan fikiran yang terlalu sesat dan songsang? Apakah yang Amin boleh lakukan di Lenggong? Setahu saya orang di Lenggong pun ramai yang simpan duit mereka di Gerik?  Apakah ada usaha untuk mengaitkan Lenggong dengan ayah Amin yang berniaga apam-balik  di pasar Minggu di situ? 

Daripada cerita songsang yang sedang dianyam oleh BH itu kita nampak satu ragam dakyah terbaru yang persis cara Israel menyebarkan dakyah songsang  di Tanah Palestine. Satu ketika dulu, salah satu cara menipu orang Palestine ialah menangkap para pejuang Palestine yang melakukan gerakan intifada. Kemudian, senarai nama mereka yang ditangkap itu disiarkan secara bersiri dan agenda kumpulan yang ditangkap itu pun disiarkan secara bersiri juga. Tempoh tahanan setiap rakyat Palestine (ingat, mereka ditangkap di tanah air mereka sendiri) selalunya bergantung kepada tahap kerjasama yang mampu ditunjukkan oleh setiap individu yang terbabit. Ada yang ditahan selama enam hingga satu tahun dan ada pula yang ditahan bertahun-tahun lamanya. Bezanya tempoh tahanan tanpa perbicaraan itu ada satu muslihat yang akhirnya terdedah juga. Kerajaan Israel melalui badan risikannya 'Mossas' telah melakukan proses 'turnover' ke atas setiap rakyat Palestine yang ditangkap itu dan dilepaskan untuk menjadi tali barut kepada Rejim di Telaviv. 

Di tahap awal, program itu didapati  amat berjaya. Tetapi, ia menghadapi satu jalan kebuntuan juga akhirnya, apabila tahanan yang dilatih menjadi 'sleeping spy' itu akhirnya bertukar watak menjadi 'double-agent' pula. Seorang perisik upahan yang menjadi 'double-agent' merupakan watak yang amat berbahaya kerana kecekapannya itu dapat menyalurkan maklumat songsang kepada pihak musuh yang mengupahnya menjadi seorang tali barut.  Contoh seorang 'double agent' yang paling unggul dalam sejarah perisikan ialah 'Mr. Philby' seorang 'pakar biji-benih' Amerika yang mengikuti Sheikh Al Saud ketika beliau menyatupadukan tanah besar Arabia.  Beliau dipercayai oleh Al Saud kerana meyakinkan bahawa beliau berminat dengan segala biji benih kurma. Yang sebenarnya beliau melakukan tugas risikan untuk mempastikan segala kerja-kerja menggerudi tanah besar itu akan dilakukan oleh syarikat minyak Amerika.  Dalam hal ini, beliau dianggap seorang 'double agent' Amerika. Hanya apabila sudah mati baru seluruh dunia ketahui bahawa kesetiaan beliau yang sebenarnya adalah terhadap fahaman komunisme. Rupanya ketika beliau bertugas sebagai perisik Amerika, beliau juga menghantar maklumat kepada Russia. 

Maklumat Songsang Yang Memakan Tuan 

Orang yang bertanggungjawab di BH berfikir, cara mengeluarkan cerita tahyul mengenai Al Ma'unah adalah bertujuan memberikan keyakinan kepada masyarakat Melayu betapa Episod RAW itu adalah sesuatu yang benar. Ia bukannya satu sandiwara yang dikesan oleh para netters. Soalnya sekarang, maklumat yang disebarkan di internet itu adalah maklumat yang disalurkan oleh orang yang bergelumang dengan kisah sebenar menangani Episod RAW itu. Apa yang dikatakan 'bukan- sandiwara' itu adalah satu episod panjang yang akan menghambat Mahathir, keluarganya serta para kroni dan juga UMNO.  

Dengan hal yang demikian, lagi lama pemikir songsang melakukan kerja-kerja jijik di halaman hadapan Berita Harian itu lagi panjanglah nanti episod ini. Besar kemungkinannya Mahathir sendiri akan tersepit dengan satu dilemma di mana dia sendiri akan menjadi 'confuse' dan bingung apabila menjawab soalan bertubi-tubi para wartawan. Masanya akan tiba, apabila 'kesahihan' episod ini akan terbongkar. Masanya akan muncul apabila Mahathir dijangka akan bercakap secara tidak sedar betapa Episod RAW adalah satu tipu helah yang direncana oleh sekumpulan bajingan dalam Kem Mahathir untuk menentukan beliau terus berkuasa. 

Satu ketika dulu, UMNO mempunyai Projek Tujuh 'M' sebagai umpan memancing undi. Tujuannya dikatakan memerangi dakyah songsang pihak parti lawan. Belum pun habis pengundian pemilu-10 dulu, projek 'M', menjadi satu projek yang mati tanpa kuburnya. Kerana itu, diisytiharkan pula projek MATIN oleh UMNO juga. Tujuannya ialah untuk menegakkan syiar Islam dengan memerangi segala bentuk pembohongan dan ajaran agama songsang.  Penubuhan Projek 'M' dan MATIN adalah projek untuk menonjolkan Mahathir dan para pemikir yang menubuhkan projek itu. Tidak lebih dari itu. Projek MATIN sedang nazak dengan kejadian 'Episod The Ship'. Sekali lagi Mahathir tertipu disebabkan kecurangan para kroni dan jongos yang terlalu taksub berpolitik sehinggakan sanggup membelakangkan ajaran Islam yang dianuti oleh para jongosnya. 

Kini, UMNO dan kerajaan akan mengadakan beberapa rancangan menyibarkan maklumat songsang betapa Episod RAW bukan satu drama. Wira Angkatan Tentera di Sauk sudah pun membuat kiasan akan projek terbaru UMNO itu dengan kenyataannya betapa sesiapa yang berani mengatakan Episod Sauk satu sandiwara adalah termasuk dalam golongan yang sudah gila. Soalnya sekarang, siapakah yang benar-benar gila? Apakah si Prebet Amin yang gila kerana mencuba merompak kereta kebal di kem tentera yang tidak menyimpan kereta kebal itu? Kalau Amin dan Kapten Wahid (ingatkah anda Kapten yang mempunyai parut di mukanya seperti yang diumumkan oleh pihak kerajaan semasa menerangkan rompakan itu?) mampu melancarkan rompakan senjata, apakah mereka tidak mampu membuat penyelidikan Kem Tentera yang mana ada menyimpan satu kereta kebal? 

Maklumat songsang yang sudah diiktiraf sebagai pembohongan oleh rakyat, sebenarnya menjadi bahan lucu sahaja. Kerajaan dan juga UMNO sebenarnya memperlekehkan orang Melayu seolah-olah orang Melayu itu adalah satu bangsa yang tidak mampu berfikir panjang dan lama-lama.  Kini, UMNO dan kerajaan mahu melakukan satu program 'road-show' untuk memberi penerangan akan cerita sebenar berkaitan Sauk. Apakah perlunya program ini kalau hanya untuk membelanjakan wang rakyat? Bukankah elok kalau setiap kampung dan daerah yang akan dilawati itu di benarkan menerima beberapa komputer untuk diletakkan di Balai Raya untuk membolehkan golongan muda mendalami pengetahuan mereka? 

'Road-show' Untuk Siapa? 

Kita boleh jangkakan, 'road show' yang dicadangkan oleh UMNO itu sebenarnya satu usaha untuk melakukan proses provokasi terhadap parti pembangkang. Dengan program 'road-show' itu kita jangkakan ada satu agenda tertutup yang mahu menghentam PAS secara mengaitkannya dengan kumpulan Al- Ma'unah.  Di waktu yang sama golongan professional dalam Keadilan, PRM dan PAS akan menerima sindiran tajam daripada UMNO dan juga pihak kerajaan.  Namun, kita fikir dan dapat jangkakan, para perancang 'road-show' ini akan tersilap langkah sekali lagi. Setakat ini kita telah lihat permulaan rancangan itu di mana Jeneral Zaini diberikan ruang yang amat luas untuk menonjolkan wataknya. Beliau adalah seorang wira yang bertaraf 'bukan sembarangan'. Laksana Hang Tuah, beliau telah berjaya merampas keris Taming Sari daripada Hang Jebat. Kali ini keris Tamingsari sudah bertukar rupa menjadi sepucuk senapang automatik berkuasa tinggi. Lantas satu persilatan yang amat pendek di mana langkah yang diatur lebih pendek daripada sebilah keris terpendek Melayu. 

Prebet Amin tumpas dengan satu tepisan yang berjaya menepis muntahan tembakan senapang itu. Secara gerak-kilat tangan Amin ditepis sehinggakan peluru yang dimaksudkan untuk menikam Zaini "sudah terkena seorang anggota Al Ma'unah" dan membunuhnya. (Yang peliknya laporan otopsi pakar mayat menyatakan mayat itu mati dua hari sebelum kejadian itu). Demikianlah perjalanan cerita yang akan berulang dan diulang-ulang setiap kali roadshow itu dilakukan. Wira Panglima Amin akan terpahat dalam sejarah tentera lebih hebat daripada nama Lt. Adnan yang tumpas di Bukit Candu, ataupun Prebet 00001 Abdul Samad yang berjaya di medan perang menentang Jepun dan mati kerana dilanggar oleh kenderaan laju.  

Kalaulah program  'road-show' itu bertujuan mengulang-tayang babak terakhir yang menumpaskan Prebet Amin, kita fikir program itu tidak akan pergi ke mana, kerana ramai orang Melayu yang lebih waras daripada yang disangkakan oleh Kerajaan. Tetapi, kalau program itu mahu memperkatakan serangan Pemuda UMNO terhadap PAS dan Keadilan, kita fikir ia akan merupakan satu program yang akan memakan tuannya. 

Sandiwara Siapakah Yang Lebih Gila 

Sebelum Kerajaan dan UMNO menjadi semakin ghairah dengan 'roadshow' itu saya dengan segala rendah diri mahu mengemukakan satu teka-teki untuk diselesaikan. Di negara ini jumlah penduduk berbangsa Melayu (pribumi) dan beragama Islam dikatakan sudah mencecah 12 juta. Enam Puluh Lima peratus dikatakan sudah berakal baligh bererti 7.8 juta orang. Kita diberitahu daripada sekumpulan 45 pertubuhan kebatinan dan pasukan persilatan Melayu di negara ini, keahliannya tidak pun melebihi 10,000 orang. Ini bererti tidak sampai satu peratus yang taksub dengan ajaran kebatinan, tarikat dan sebagainya. 

Dengan lain perkataan masyarakat Melayu itu secara keseluruhannya mampu mengawasi pergerakan setiap pasukan ataupun persatuan tarikat ataupun kebatinan di negara ini. Di waktu yang sama mereka yang menjadi ahli kepada persatuan tersebut sebenarnya sedar betapa masyarakat Melayu amat toleran dengan kegiatan mereka itu. Apabila kerajaan mula beria-ia menyibarkan maklumat berlarutan betapa Al-Ma'unah adalah satu kumpulan songsang, satu soalan mula bermain di otak setiap orang melayu yang waras. Kenapakah MATIN dan institusi kerajaan seperti Polis, KEMAS, BTN,  Risikan Tentera tidak mengesan pergerakan Al Ma'unah daripada mulanya sehinggakan mereka mampu melakukan 'rompakan senjata'? 

Kini, Al Ma'unah dikaitkan pula dengan Kumpulan Pimpinan Arwah Haji Ibrahim Libya. Apakah benar kumpulan pimpinan beliau itu satu kumpulan yang sesat. Kenapakah selepas 15 tahun episod Ibrahim Libya tidak ada satu pun kes mahkamah yang lama tertangguh itu disambung semula? Kalau kita pergi ke perkuburan di Parit Panjang (30 kilometer daripada Memali) kita akan lihat pusara para mangsa tembakan itu masih dikelilingi pagar lama yang ditaja oleh Duli Yang Mulia Sultan Kedah. Lima belas tahun adalah satu waktu yang panjang, kitab-kitab kepunyaan Ibrahim Libya masih tidak lagi dipulangkan kepada warisnya. Sijil, dan kad kepunyaan warga keluarga yang mati syahid itu masih tidak dipulangkan lagi. Malahan simpanan wang kumpulan dan derma yang dikatakan berjumlah lebih Dua Puluh Ribu Ringgit yang disimpan di dalam sebuah peti di rumah Ibrahim Libya  masih diiktiraf hilang oleh warga si mati. Kenapakah kini, kerajaan dengan celuparnya sanggup mengaitkan Al Ma'unah dengan kumpulan pimpinan Ibrahim Libya. Atas dasar apakah kaitan itu dilakukan? 

Taktik mengaitkan Al-Ma'unah dengan pergerakan pimpinan Ibrahim Libya adalah satu taktik yang sesat sesesatnya. "Ibrahim Libya mati syahid dan  berkubur kerana muslihat politik ketika itu" demikian kata orang kampungnya. Ramai warga Kedah berpendapat bahawa: "Kalaulah Ibrahim Libya tidak tumbang dan kumpulannya tidak ditumpaskan, Kedah sudah merupakan sebuah negeri yang diperintah oleh parti PAS sekarang ini. Mahathir, Osman Arop, Hamid Othman, Speaker Parlimen  Zahir Ismail, dan juga Sanusi Joned amat faham akan perkara ini. Kerana itu mereka sanggup bersekongkol melihatkan gugurnya seorang ulama yang perihatin terhadap penderitaan bangsanya. 

Orang-orang Memali dan Baling tentu amat sedar akan kisah serban yang berbau wangi dalam episod kematian Ibrahim Libya itu. Semua itu adalah satu tanda yang menaikkan semangat orang Melayu akan makna sebenarnya satu perjuangan." Seorang veteran UMNO di Alor Star ada berkata:  "Dengan mengaitkan kisah Prebet Amin dan Al Ma'unah dengan Ibrahim Libya, pihak kerajaan pimpinan Mahathir sebenarnya memalukan orang Melayu di Kedah yang selama ini menyorokkan perasaan malu mereka terhadap episod Memali itu. Mereka tahu Ibrahim Libya tidak berdosa. Yang lebih berdosa adalah orang Melayu yang masih hidup yang sanggup membiarkan sahaja apa yang sudah berlaku tanpa mahu menyoalnya secara terang-terangan. Semua itu disebabkan kepentingan perut belaka." 

Lima Belas Tahun Yang Mengaibkan Melayu Kedah 

Lima belas tahun adalah satu masa yang pendek kepada Mahathir kerana dia sudah berkuasa selama dua puluh tahun. Tetapi, lima belas tahun adalah satu tempoh yang  panjang kepada orang Kedah yang mahu menyaksikan Mahathir terus hidup dengan keadaan yang hina sehinanya.  Mereka sedang melihatkan keadaan ini berlaku terhadap Sanusi Junid. Mereka sedang menantikan keadaan yang sama berlaku kepada Mahathir Mohammad.  

Sebenarnya, kalau diamati betul-betul daripada kaca mata pengajian Islam, Mahathir bin Mohamad sedang memulakan satu era penghidupan yang penuh penghinaan terhadap perwatakannya. Cuma, dia sendiri tidak tahu akan hal itu. Kalau kita pergi ke rumah Ibrahim Libya di mana beliau dan para pengikut kuliah subuh mati kerana hujan peluru yang menyerangi mereka, kita akan terpegun melihatkan keadaan keliling rumah itu. Di bahagian laman rumah ada sebatang pokok kelapa yang berlubang besar di pangkal pokoknya. Lubang itu adalah kesan tembakan yang bertubi. Di sepanjang batang pokok itu terdapat kesan-kesan tembakan peluru automatik. Itulah kesan lama yang tinggal daripada episod Ibrahim Libya. 

Di Sauk, terdapat pelbagai 'kesan' satu sandiwara yang dipentaskan secara pendek. Tetapi impak pementasan itu akan bergema panjang seolah-olah tembakan yang dilakukan daripada muncung pistol di arahkan ke hala sebuah gua yang sungguh panjang terowongnya. Inilah impak Al-Ma'unah dan Prebet Amin. Setelah dikaji pembohongan dan cerita songsang mengenai Al Ma'unah itu apakah kita akan hairan kalau esok ataupun lusa ada pula akhbar perdana yang menulis satu tajuk cerita mengatakan Amin mahu merompak Global Express?

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com