YB SAIFUDDIN BERTEMU RAKYAT
Seminggu berlalu sejak pilihan raya kecil yang
sungguh bersejarah di DUN Lunas, malam tadi(6/12/2000) YB Saifuddin Nasution bertentang
mata buat pertama kali dengan rakyat marhaennya di Lunas.
Tidak melepaskan peluang untuk mendengar ucapan
sulung beliau di Lunas, saya bergegas ke sana bagi menyaksikan sendiri sambutan penduduk
tempatan. Bertempat di tapak yang sama sewaktu malam pengisytiharan calon BA yang lalu,
masyarakat tempatan sekali lagi tidak pernah mengecewakan. Ribuan yang hadir kelihatan
begitu bersemangat sekali untuk bertemu dengan wakil rakyat kesayangan mereka itu.
Program pada malam itu sebenarnya dianjurkan oleh pihak PAS kawasan Padang Serai sebagai
tanda penghargaan dan terima kasih kepada para petugas dan penyokong yang telah
memberikan sokongan padu di sepanjang kempen pilihan raya kecil yang baru lalu.
Seekor lembu ditumbangkan untuk majlis kesyukuran
ini. Diberitakan terdapat lagi 9 ekor lembu, 2 ekor kambing dan 2 kolam ikan bakal
dikendurikan di kawasan DUN Lunas sahaja untuk tujuan yang sama. Jenuh jugalah YB kita
untk mengatur langkah menerima jemputan-jemputan terhormat itu nanti.
Di dalam ucapan sulungnya, YB dengan begitu bijak
menawan hati pendengarnya melalui cerita seharinya di Dewan Undangan Negeri Kedah yang
baru lalu. Oleh kerana beliau belum menjalani upacara angkat sumpah di hadapan Speaker
Dewan, maka beliau tidak berpeluang untuk sama-sama bersidang pada hari terakhir
pembentangan belanjawan negeri. Namun beliau tidak melepaskan peluang hadir sebagai
pemerhati dan menyaksikan sendiri gelagat ahli-ahli Exco Negeri termasuk Menteri Besar
yang sentiasa mengelat dari menjawab soalan-soalan berwibawa yang dikemukakan oleh pihak
pembangkang.
Sesuatu yang memalukan menurut YB Saifuddin, adalah
Menteri Besar sendiri tidak pernah cuba menjawab soalan-soalan yang dikemukakan walaupun
soalan yang berkaitan dengan bidang kuasanya sendiri. Sebaliknya si Syed Razak tu hanya
tahu mengarahkan ahli-ahli Exconya yang juga kurang cerdik untuk menjawab bagi pihaknya.
Tidak kurang juga yang terpaksa meminta belas ikhsan pegawai-pegawai kerajaan bagi
menutup aib mereka.
Perkara yang lebih memeranjatkan kita semua adalah
pendedahan YB tentang dokumen yang telah habis diteliti dan dikaji oleh beliau. Akaun
Simpanan tetap (Fixed Deposit Account) bagi negeri Kedah pada masa ini adalah sifar.....
RM 0.00! Malah kerajaan negeri berhutang pula dengan Persekutuan sebanyak RM1.2 bilion.
Berbanding dengan Negeri Kelantan yang dituduh tidak pandai mentadbir......Akaun
Simpanan Tetap Negeri Kelantan masih ada sebanyak RM600juta lagi. Ini tidak lain hasil
kerja pintar si Sanusi Junid dengan projek-projek pelik dan membazirnya
dahulu......Taman Safari di Sik, Pusat Penyembelihan Lembu Terbesar dan Tercanggih, Padi
atas bumbung, Kampung Buku di Langkawi dll. Buek mengabihkan boreh jo! Siapa jua yang
bakal mengambilalih pentadbiran negeri tahun 2004 nanti pasti sesak nafas nak melunaskan
hutang piutang yang sekeliling pinggang itu.
YB Hj. Mat Sabu juga hadir pada malam itu. Beliau
menceritakan serba sedikit tentang YB Saifudiin yang dikenalinya sejak zaman pelajar
lagi. Ketokohan sebagai pemimpin memang telah terserlah di dalam dirinya semasa di
kampus dahulu. Atas sebab itu penduduk Lunas adalah amat bertuah mendapat seorang wakil
rakyat yang berwibawa sepertinya. YB Mat Sabu juga mendedahkan bahawa sebelum ini Lunas
menduduki tempat ke 34 dari 36 kawasan yang mungkin boleh ditawan oleh BA. Maknanya
Lunas telah dirumuskan sebagai satu kawasan yang sangat sukar untuk ditembusi oleh pihak
pembangkang. Sebab itulah kejayaan di Lunas ini begitu bersejarah sekali dan memberikan
harapan yang tinggi untuk BA menakluki kawasan-kawasan lain di Negeri Kedah tahun 2004
nanti, Insyaallah!
Apa yang
lebih penting di pihak BA agar tidak leka dengan kemenangan ini sebaliknya terus bekerja
kuat bagi memastikan Kedah milik BA tahun 2004 nanti!
Program tamat jam 12.00 tengah malam. YB Saifuddin
juga telah mengumumkan yang beliau akan menetap di Lunas dan sebuah bilik operasi/
pejabat ADUN akan dibuka tidak lama lagi. Seluruh masyarakat Lunas dialu-alukan memberi
sebarang cadangan mahupun teguran buat pihaknya yang masih hijau dengan pengalaman itu.
Semoga Lunas akan menjadi contoh kepada kawasan-kawasan lain sama ada dari segi
kebangkitan rakyatnya mahupun pengurusan perkhidmatan yang berkesan oleh YB baru yang
dipilih.
LAWAN TETAP LAWAN!
ALLAHUAKBAR!ALLAHUAKBAR!ALLAHUAKBAR!
Kak Id 2000